Negeri

41 lelaki ditahan bersama senjata api tiruan dalam Op Laras

KUANTAN: Keterujaan 41 lelaki ingin mengadakan aktiviti ‘War Game’ terbantut apabila ditahan dalam operasi Ops Laras di Padang Hangus, Gebeng, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mereka berusia 21 hingga 66 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan lelaki itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk pesara dan anggota tentera, jurutera, juruteknik, fisioterapi, guru serta pekerja kilang.

“Hasil operasi itu, sebanyak 406 unit pelbagai jenis senjata api tiruan dan aksesori dirampas yang dianggarkan melebihi RM100,000 kerana ada satu laras senapang bernilai melebihi RM6,000.

“Antara yang dirampas ialah 65 laras senapang jenis dan 32 pistol angin serta 130 kelopak peluru, 28 vest dan 35 aksesori lain termasuk skop dan walkie-talkie,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi dilakukan selepas risikan berhubung aktiviti di atas tanah rizab Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang belum dibangunkan dengan kerjasama unit khas TLDM.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen atau permit yang sah.

“Kesemua 41 individu itu direman sehingga 4 September ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, walaupun air soft gun dianggap sebagai ‘senjata permainan’, ia tetap dikategorikan sebagai senjata api tiruan mengikut undang-undang negara ini. – Harian Metro

Related Posts