KUALA LUMPUR: Tubuhnya kecil molek, namun semangat juang Nurul Ain Nadia Abdullah, 26, sangat tinggi malah dia terus cekal memandu bas ekspres demi menyara dua anak masih kecil.
Pada usia semuda ini, Nurul Ain Nadia berperanan sebagai ibu dan ayah kepada anaknya dengan bekerja sebagai pemandu bas, di luar bidang kebiasaan seorang wanita.
Ibu tunggal ini tidak pernah membayangkan ujian hidupnya akan membawanya sejauh ini dari sebuah kampung di Setiu, Terengganu hingga merentas negeri demi mencari rezeki.
Sebelum ini, anak ketujuh daripada lapan beradik ini sudah biasa bekerja sejak tamat persekolahan, daripada kedai runcit, kerja kampung hinggalah pembantu di kedai keropok lekor di kampung halamannya.
Menurut Nurul Ain Nadia, dia berkahwin pada usia 18 tahun sebelum menimang cahaya mata pertama ketika berusia 20 tahun, namun kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila rumah tangga berakhir pada 2022, beberapa bulan selepas melahirkan anak kedua.
“Selepas bercerai, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam.
“Siang pula, mengikut abang dan adik membawa lori sebagai kelindan. Daripada situlah timbul minat saya terhadap kenderaan berat,” katanya
Menurut Nurul Ain Nadia, dia memberanikan diri mengambil lesen kelas E pada 2021 sebelum 2023 menjadi titik perubahan hidupnya apabila menghadiri temu duga untuk mencari peluang bertugas sebagai pemandu lori.
“Daripada situ, muncul peluang apabila wakil sebuah syarikat bas ekspres mencadangkan saya menyertai kursus lesen bas bersama mereka.
“Selepas berbincang dengan keluarga, saya pun mencuba nasib dan saya bersyukur kerana berjaya mengikuti kursus Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas sebelum mula bekerja pada Mac 2023,” katanya.
Selepas menimba pengalaman berharga, Nurul Ain Nadia menyertai Konsortium E-Mutiara Berhad awal tahun ini atas faktor jadual lebih fleksibel yang membolehkannya pulang lebih lama bertemu anak.
Walaupun merantau jauh, waktu pulang bercuti dimanfaatkan sepenuhnya untuk anak.
“Bagi saya, pencapaian paling bermakna dalam hidup ialah mampu memastikan anak cukup makan pakai dan tidak tercicir persekolahan.
“Jika anak demam, saya tidak lagi terlalu bimbang tentang kos rawatan. Paling bermakna, saya masih dapat berbakti kepada ibu bapa dengan hasil titik peluh saya sendiri,” katanya.
Akuinya, dia memilih memandu bas kerana pekerjaan itu memberi kestabilan kewangan dan menjamin masa depan diri dan anak.
“Saya sentiasa berdoa, melalui pekerjaan ini, saya dapat terus mencari rezeki untuk anak serta ibu bapa.
“Saya juga bertekad mahu terus gigih bekerja, bersemangat, dapat menjaga nama baik diri, keluarga dan syarikat,” katanya.
Jauh di sudut hatinya, Nurul Ain Nadia menyimpan impian untuk membuka perniagaan sendiri seperti perkhidmatan sewa van atau inap desa berdasarkan pengalaman melihat potensi dalam bidang pengangkutan serta penginapan.
Nurul Ain Nadia turut menitipkan pesanan kepada wanita terutama ibu tunggal yang berdepan ujian hidup, supaya jangan menyerah kalah dan bangkit demi mengubah masa depan. – Metro
