Home NasionalTak pernah ada kad pengenalan walaupun dah berusia 58 tahun

Tak pernah ada kad pengenalan walaupun dah berusia 58 tahun

oleh suara timur

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 58 tahun mendedahkan dia tidak pernah memiliki kad pengenalan sejak berusia 12 tahun dan merayu supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyegerakan proses permohonan kad pengenalannya yang masih tertangguh sejak puluhan tahun lalu.

Sharuddin Basir berkata, dia sudah berusaha mendapatkan kad pengenalan sejak berusia 12 tahun lagi, namun proses itu terbantut disebabkan masalah keluarga selain arwah ibunya yang buta huruf sehingga menyukarkan urusan dokumentasi penting.

Sharuddin berkata, dia hanya memiliki sijil kelahiran, namun ia tidak lengkap sekali gus menyukarkan proses memohon kad pengenalan.

“Sewaktu lahir, arwah bapa berada di Sabah dan tidak boleh balik atas sebab-sebab tertentu. Arwah emak pula buta huruf dan tak dapat uruskan pendaftaran kelahiran dengan sempurna. Ini menyebabkan sijil kelahiran tidak lengkap kerana tidak diletakkan nama saya, tetapi nama ibu bapa lengkap direkodkan,” katanya.

banner

Katanya, ketika itu JPN tetap mengeluarkan sijil kelahiran itu. Namun, apabila dia ke JPN untuk memohon kad pengenalan pada usia 12 tahun, ia tidak dapat dilakukan akibat maklumat di sijil kelahiran tidak lengkap.

Katanya, JPN hanya mengeluarkan kad pengenalan sementara dan itulah yang digunakan untuk dia menduduki peperiksaan ketika bersekolah dulu.

Menurut Sharuddin, hidupnya seakan ‘tergantung’ apabila masih gagal memperoleh kad pengenalan walaupun sudah empat kali membuat permohonan kepada JPN sejak remaja.

“Saya anak sulung daripada empat beradik, namun hanya saya seorang menghadapi masalah dan tidak mempunyai kad pengenalan.

“Setiap kali memohon, saya perlu mengeluarkan belanja kira-kira RM100 untuk berulang alik ke JPN, malah banyak prosedur perlu dilalui termasuk angkat sumpah, pengesahan penghulu serta mencari saksi, namun keputusannya tetap sama,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia membuat permohonan ialah pada Februari lalu selain turut menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tetapi sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklum balas daripada JPN.

“Saya hampir putus asa selepas membuat pelbagai cara kerana sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaiannya,” katanya

Sharuddin berkata, berikutan tiada kad pengenalan, dia berdepan kesukaran sejak bersekolah dan hanya bergantung kepada sijil kelahiran termasuk ketika mahu berkahwin.

“Selain itu, masalah berkenaan juga menyebabkan hidup saya terbatas dalam hampir semua urusan rasmi termasuk tidak boleh memiliki lesen memandu, tidak dapat mengundi setiap kali pilihan raya, sukar memohon bantuan kebajikan, dan tidak dapat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun pernah bekerja di bawah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) beberapa tahun lalu.

“Bukan itu saja, ketiadaan kad pengenalan menyukarkan saya untuk mencari pekerjaan yang lebih baik dan kini hanya menjadi pesawah untuk menyara keluarga. Saya rakyat Malaysia, saya cuma nak hak sebagai warganegara dan berharap sangat dapat kad pengenalan supaya tiada masalah di kemudian hari,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak JPN menyemak semula rekod permohonannya sekali gus menamatkan kemelut yang menjejaskan kehidupannya sejak zaman remaja. – Harian Metro

Tinggalkan komen