Home NasionalPenuntut IPT, kekasih ditahan selepas ‘bergelut’ dengan polis

Penuntut IPT, kekasih ditahan selepas ‘bergelut’ dengan polis

oleh suara timur

JELI: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kekasihnya yang juga pelajar ditahan selepas berlaku pergelutan selain memandu secara berbahaya dengan menghimpit kenderaan polis di Kampung Rabbana, di sini, petang tadi.

Kedua-dua mereka iaitu lelaki berusia 20-an dan kekasihnya, remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata terdahulu anggota unit peronda polis (MPV) yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah Perodua Myvi dinaiki dua individu berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Sungai Rual.

“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, kenderaan yang dipandu seorang lelaki itu enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju.

banner

“Susulan itu, polis mengejar kenderaan terbabit dan pemandu Perodua Myvi itu turut menghimpit kenderaan polis selain memandu dalam keadaan melulu sebelum kenderaan itu berjaya disekat polis di Kampung Rabbana.

“Pemandu berkenaan cuba melarikan diri dan berlaku turut pergelutan dengan pihak polis sebelum ditahan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan berkenaan terdapat seorang perempuan dan semakan lanjut mendapati pemandu kenderaan terbabit adalah pelajar sebuah IPT di Jeli, manakala perempuan berkenaan masih bersekolah yang juga calon SPM,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mereka dipercayai terkejut dengan kehadiran polis dan pemeriksaan lanjut turut mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan memandu secara berbahaya.

“Pihak polis menyeru agar masyarakat sentiasa memberikan kerjasama sekiranya pemeriksaan dijalankan oleh pihak polis,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen