Mahkamah dan Jenayah

Serbu rumah di Lembah Klang, SPRM jumpa wang tunai RM7.5 juta dalam kotak

KUALA LUMPUR: Wang tunai berjumlah RM7.5 juta ditemui dalam sebuah rumah yang diserbu pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Lembah Klang, semalam.

Wang tunai yang kebanyakannya dalam nilai not RM50 itu dikatakan ditemui SPRM dalam beberapa kotak dan almari serta disimpan di rumah itu, sejurus siasatan rasuah membabitkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor, yang bernilai kira-kira RM160 juta dimulakan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi BH mengesahkan serbuan dan penemuan itu.

Beliau berkata, wang berkenaan sudah disita SPRM, namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan lanjut sedang dijalankan pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 kesalahan liabiliti korporat,” katanya yang turut mengesahkan beberapa individu ditahan reman hari ini.

Sementara itu, satu sumber berkata, wang tunai bernilai kira-kira RM7.5 juta di sebuah rumah seorang pengurus kontrak yang terbabit dalam siasatan perolehan tender projek pembinaan pusat data itu.

Katanya, wang itu dipercayai rasuah yang dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek sudah menetapkan bayaran wang rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek yang diperoleh dua syarikat berkenaan,” katanya.

Katanya, dalam operasi itu, SPRM menahan reman seorang pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka bersama isterinya serta dua pengarah syarikat kerana dipercayai terbabit rasuah dalam perolehan tender projek itu.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan dalam Op Ways yang dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang, semalam.

BH difahamkan, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek lelaki yang berjawatan pengurus kontrak syarikat direman tujuh hari sehingga Khamis depan, manakala isterinya direman tiga hari sehingga Isnin ini.

“Dua suspek lelaki berjawatan pengarah syarikat berkenaan direman lima hari sehingga Selasa ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi,” katanya. – Berita Harian

Related Posts