Mahkamah dan Jenayah

Wanita maut rempuh tembok batu selepas dikejar suami

ALOR GAJAH: Pekerja kilang wanita yang maut dalam kemalangan di Kampung Pengkalan, di sini, semalam dipercayai bertengkar dengan suaminya sebelum dikejar lelaki itu dengan motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan yang dilakukan mendapati terdapat maklumat yang mengatakan mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian.

“Ketika dalam perjalanan pulang itu, suami mangsa mengekorinya dari arah belakang menyebabkan mangsa bertindak memecut motosikal yang ditunggang untuk melarikan diri daripada lelaki itu namun terbabas.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan polis akan memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan selain mengesan saksi bebas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan mangsa maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tembok batu berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin, Kampung Pengkalan.

Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, menyebabkan mangsa, Nur Erdiyanah Samsul Maarif, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.

Ashari berkata, ketika kejadian, wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Melaka Pindah menuju ke Jalan Kasa Height. – Sinar Harian

Related Posts