Mahkamah dan Jenayah

Sindiket dadah tumpas, syabu RM6.5 juta dirampas

KOTA BHARU: Bukit Aman berjaya mematahkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sejak Julai lalu selepas merampas lebih 204 kilogram (kg) dadah membabitkan nilai RM6.5 juta di sebuah premis di Kampung Kasar,Pasir Mas, pada 25 Ogos lalu.

Serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan jam 7 petang hingga 10 malam itu turut menahan seorang pemilik kedai runcit yang dipercayai berperanan sebagai transporter dalam sindiket berkenaan

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang dijalankan hampir sebulan memandangkan kegiatan sindiket pengedaran dadah adalah licik.

“Ketika serbuan dilakukan di sebuah premis, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an iaitu pemilik kedai runcit. Jarak lokasi serbuan dengan kedai runcit milik suspek adalah beberapa kilometer.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan semak berdekatan premis berkenaan turut merampas tujuh guni yang mengandungi 196 bungkusan plastik bertulis Jin Xian Tea dan Number One berisi dadah jenis syabu.

“Jumlah anggaran berat keseluruhan dadah jenis syabu sebanyak 204.34 kg membabitkan nilai lebih RM6.5 juta.

“Bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang dan dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai 1.02 juta orang yang menggunakannya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa bekalan berkenaan dari Thailand menggunakan pangkalan haram.

Katanya, bekalan dadah yang sampai di pangkalan haram Terusan di Rantau Panjang akan dipunggah menggunakan kenderaan sebelum menyembunyikan bekalan itu di kawasan semak sementara menunggu ahli sindiket lain mengambilnya.

“Modus operandi ini digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa dari mengesan kegiatan haram ini.

“Suspek yang ditahan turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kita dalam proses untuk menyita premis kedai runcit milik suspek bagi menjalankan siasatan sama ada menjalankan perniagaan itu untuk mengaburi kegiatan dadah.

“Kita turut mengesan saki baki kumpulan sindiket berkenaan selain menyiasat secara menyeluruh rangkaian sindiket berkenaan termasuk di luar negara,” katanya yang suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, menerusi serbuan berkenaan pihaknya turut merampas dua buah kenderaan dan wang dalam akaun sebanyak RM708.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” katanya. – Harian Metro

Related Posts