Mahkamah dan Jenayah

Kejayaan polis tumpas sindiket dadah dihargai

KOTA BAHRU: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam operasi yang dijalankan di Pasir Mas dan Tumpat, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kejayaan tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada jaringan pengedaran dadah dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi pihak keselamatan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri komited sepenuhnya dalam jihad memerangi dadah. Kita akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan untuk memastikan jenayah ini dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau menegaskan penyatuan semua pihak dalam memerangi dadah adalah penting bagi melindungi rakyat serta menjamin masa depan negeri yang lebih selamat dan bermaruah.

“Semoga usaha ini terus diperkukuh demi memastikan Kelantan bebas daripada ancaman dadah dan segala bentuk jenayah yang merosakkan,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam operasi khas pada 27 Jun lalu, pihak polis berjaya merampas lebih 118,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM5.04 juta, hasil daripada risikan berterusan selama setahun.

Sindiket berkenaan dikesan menggunakan kaedah menjijikkan dengan menyembunyikan dadah dalam timbunan najis lembu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan beberapa aset milik suspek telah disita bagi membantu siasatan lanjut. – Harakahdaily

Related Posts