KUALA TERENGGANU: Lelaki yang mati ditembak polis di Besut, hari ini, dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan Kelantan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, suspek berusia 31 tahun berasal dari Pasir Puteh, Kelantan yang dikehendaki polis mempunyai tujuh rekod jenayah lampau di antaranya kegiatan ugutan jenayah, pecah rumah dan curi serta samun bersenjata.
Menurutnya, dalam pemeriksaan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek menemukan sepucuk pistol berwarna perak bersama magazine dan empat peluru hidup serta tiga kelongsong peluru di lantai kenderaan tersebut.
Katanya, selain itu, anggotanya turut menemukan sebilah pisau, satu bungkusan warna hitam dipercayai dadah jenis pil kuda seberat 205.81 gram dan plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu seberat 82.57 gram bernilai keseluruhan RM29,000.
“Semasa sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan (JSJ) Bukit Aman sedang melakukan tugas rondaan Op Laras pada pukul 2.20 pagi telah terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika pasukan itu sampai di jalan berhampiran TUDM Gong Kedak, Besut.
“Semasa usaha untuk menahan kenderaan itu untuk diperiksa, tiba-tiba suspek telah melepaskan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan polis.
“Pihak polis telah membalas tembakan tersebut untuk mempertahankan diri sehingga tiada lagi tembakan balas diberikan dan hasil pemeriksaan ke kenderaan dinaiki suspek mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia dengan kesan kecederaan di bahagian badan, ” katanya pada sidang akhbar di sini, petang ini.
Beliau memberitahu, siasatan juga mendapati kenderaan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – Utusan