Mahkamah dan Jenayah

RM4.5 bilion harta Daim di lima negara akan dibeku

KUALA LUMPUR: Aset dan harta dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, keluarganya serta proksi, yang berada di lima lagi negara selain United Kingdom (UK), dianggar bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion.

Difahamkan aset bernilai tinggi dan mempunyai kepentingan komersial itu dijangka dibekukan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati ia gagal diisytiharkan dalam siasatan terhadap pemimpin politik berkenaan.

Lima negara menempatkan aset dan harta terbabit ialah Amerika Syarikat (AS), Singapura, Jepun dan Itali dan Jersey iaitu negara pulau yang terletak di Selat Inggeris dan luar pantai Normandy, Perancis.

Sumber berkata, harta dan aset yang dikesan SPRM di Amerika Syarikat membabitkan kondominium dan bangunan komersial serta akaun bank.

“Di Jepun, aset yang tidak diisytiharkan itu membabitkan hotel, manakala pusat beli-belah terletak di Itali.

“Aset serta akaun bank juga dikesan di Singapura dan Jersey iaitu negara pulau di Selat Inggeris.

“Semua harta dan aset ini dikesan tidak diisytiharkan kepada SPRM ketika siasatan dijalankan pada 2023. Justeru itu, langkah mengenakan restraining order atau perintah larangan akan dipohon dalam tempoh terdekat dengan bantuan pihak berkuasa negara terbabit,” katanya kepada BH.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, yang mengesahkan langkah itu ketika dihubungi, berkata pihaknya akan membuat permohonan mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, BH mendedahkan, lima negara itu menjadi sasaran SPRM dalam usaha menjejaki harta bernilai tinggi yang tidak diisytiharkan milik Daim dan keluarga termasuk proksi bekas Menteri Kewangan itu.
– Berita Harian

Related Posts