Home NegeriBunga api melantun dalam kenderaan, nyaris terkena muka bayi

Bunga api melantun dalam kenderaan, nyaris terkena muka bayi

oleh suara timur

KUALA NERUS: “Saya menarik nafas lega dan bersyukur apabila bunga api yang masuk ke dalam kereta terkena pada tangan sebelum melantun lalu meletup pada cermin kereta.

“Sekiranya tidak terkena pada tangan saya bunga api itu akan terus terkena muka bayi saya berusia 18 bulan yang ketika itu berada di pangkuan isteri yang duduk di sebelah kerusi penumpang,” kata Rashidi Ihshak, 38, dari Kampung Seberang Takir, dekat sini.

Menurutnya, kejadian berlaku Jumaat lalu selepas berbuka puasa dan menunaikan solat di pekarangan jambatan angkat di mana dia berehat seketika sebelum pulang ke rumahnya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang kira-kira jam 9 malam dia membuka tingkap kenderaan namun tiba-tiba percikan bunga api memasuki keretanya.

Katanya, percikan itu terkena pada tangan kirinya sebelum melantun ke arah cermin kereta lalu meletup hingga mengakibatkan cermin hadapan kereta pecah.

banner

“Mujur terkena pada tangan saya, kalau tidak sudah tentu terkena muka bayi saya yang berada di pangkuan isteri.

“Saya tidak tahu dari arah mana datangnya percikan bunga api itu kerana terlalu ramai individu yang bermain bunga api ketika kejadian itu berlaku,” katanya.

Katanya, dia memberhentikan keretanya untuk memeriksa keadaan kerana tiga lagi anak yang berusia 4, 8 dan 9 tahun berada di kerusi belakang.

Menurutnya, akibat kejadian itu cermin depan keretanya mengalami kerosakan dan nilainya belum diketahui kerana ia berlaku pada malam ambang Aidilfitri dan belum sempat dibaiki.

“Kejadian berlaku dengan pantas namun Allah masih sayangkan keluarga saya walaupun tangan kiri mengalami sedikit luka,” katanya yang begitu kesal dengan tindakan segelintir individu menjadikan bahu jalan di kawasan jambatan angkat sebagai tempat bermain bunga api.

Tambahnya, bermain bunga api berhampiran jalan raya sememangnya berbahaya kerana pantulan dan percikan bunga api sukar untuk dikawal selepas dinyalakan.

“Justeru, saya berharap orang ramai lebih berwaspada ketika bermain bunga api di tempat awam kerana sekiranya tersilap langkah boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Apa yang berlaku pada saya jadikan iktibar dan jangan membahayakan nyawa orang lain demi keseronokan sendiri dan pilihlah lokasi lebih selamat sekiranya hendak bermain bunga api,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berhajat untuk membuat laporan polis, namun meminta orang ramai lebih sensitif terhadap persekitaran sekiranya hendak bermain bunga api. – Metro

Tinggalkan komen