Negeri

PGA tumpas kegiatan lombong emas haram di Rusila

MARANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram selepas menahan seorang lelaki dalam Op Bersepadu Khazanah di Lubuk Terak, Mukim Rusila, di sini, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya turut melibatkan rampasan peralatan dan mesin jentera melombong yang bernilai kira-kira RM1.89 juta.

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan anggota Batalion 9 PGA dengan kerjasama  polis kontinen Terengganu bagi memeriksa  kawasan lombong berkenaan kira-kira pukul 5 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas dilakukan seorang lelaki berumur 57 tahun dan suspek gagal menunjukkan lesen pelombongan yang sah.

“Polis telah menahan lelaki berkenaan dan merampas semua peralatan serta mesin jentera tersebut untuk tindakan anjut,” katanya ketika dihubungi hari
ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek dan barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat dibawah Akta Enakmen Mineral Terengganu 2002 kerana melombong tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri,” katanya.

Beliau menambah, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pelombongan haram daripada terus  berleluasa di dalam negara. – Utusan

Related Posts