Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Seorang penyelia tapak projek maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Dungun, Terengganu pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi tadi di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Nyior, Paka.
Dalam kemalangan itu, mangsa, Zulkiflee Jusoh, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah bandar Dungun menuju ke tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Paka.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan SUV dipandu seorang warga emas berusia 63 tahun dari arah Bandar Paka dikatakan telah membelok ke kanan ketika berada di satu persimpangan jalan.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh kereta SUV terbabit dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
