KUALA BERANG: Dua lelaki warga Kemboja yang menceroboh kawasan Taman Negeri Kenyir di sini dipercayai untuk mendapatkan hasil hutan dan kayu gaharu ditahan pada 18 Jun lalu.
Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu Tengku Datuk Mohd Arifin Tengku A.Rahman berkata dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan dalam Ops Tekah yang dijalankan secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain.
Beliau berkata ketika diperiksa, kedua-dua suspek gagal menunjukkan surat kebenaran bertulis atau permit memasuki Taman Negeri.
“Operasi disertai 16 anggota penguat kuasa daripada MPTN, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, Jabatan Hidupan Luar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan Polis Marin Tasik Kenyir.
“Suspek kini direman selama 14 hari oleh polis bermula 19 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18(1)(j) dan Seksyen 20(1) Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 kerana memasuki Taman Negeri tanpa kebenaran serta disyaki cuba mengambil hasil hutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tengku Mohd Arifin berkata jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut beliau MPTN memandang serius isu pencerobohan oleh warga asing dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk tindakan atau aktiviti yang boleh mengancam kelestarian alam di kawasan dilindungi.
“Selain denda dan penjara, hukuman sebatan minimum satu kali juga boleh dikenakan. Oleh itu rakyat tempatan juga diingatkan supaya tidak bersuhabat dengan aktiviti pencerobohan hutan,” katanya. – Harian Metro