Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah di sini melakukan pengeraman 1,825 biji telur tuntung sungai pada tahun ini.
Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, daripada jumlah itu, lebih 1,372 berjaya ditetaskan.
Menurutnya, pada hari ini pula, 680 ekor anak tuntung sungai dilepaslan di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah sebagai simbolik sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-68.
“Selebihnya akan dilepaskan bersama syarikat-syarikat korporat yang membuat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pelajar-pelajar sekolah dan orang awam yang datang melawat pusat tuntung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur pada Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.
Majlis perasmian pelepasan disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Hadir sama, Pengerusi Turtle Conservation Society of Malaysia, Prof. Dr. Maketab Mohamed, Pengarah Bahagian Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Dr. Pazil Abdul Patah dan Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Rozidan Mohd Yasin.

Menurut Dr Chen, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan menjaga dan memelihara Tuntung yang sanga terancam di Malaysia.
Katanya, Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah mula beroperasi pada tahun 2017 dan hingga kini kami berjaya mengutip sebanyak lebih 11,000 biji telur bagi pengeramam.
Pada masa sama, tambahnya, pihaknya melepaskan lebih 6,000 anak tuntung ke Sungai Kemaman bagi tujuan pemeliharaan.
“Salah satu objektif kami menggunakan tuntung sungai ini sebagai simbol dan ikon bagi menaikkan lagi imej pelancongan terutama sekali di negeri Terengganu kerana di negeri Terengganulah TCS terkenal dengan ‘turtle’ dan tuntung sungai juga dikenali dengan panggilan ‘turtle’.
“Berdasarkan pengalaman saya, suatu ketika dahulu ramai orang yang pergi melawat pusat pusat pelancongan dengan mengambil gambar sebagai kenangan tetapi sekarang mereka lebih berminat untuk belajar sesuatu perkara baru,” ujarnya. – Suara Timur