Negeri

Rozi Mamat ziarah dua bekas pengamal media sakit

KUALA TERENGGANU : Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat menziarahi
dua bekas pengamal media  di negeri ini yang diuji masalah kesihatan pada program Ziarah Kasih Ramadan, di sini, hari ini.

Dua bekas pengamal media yang diziarahi Rozi ialah bekas jurugambar Utusan Malaysia iaitu Azlan Bahrum, 41, dan bekas jurukamera RTM, Asmara Mat Hassan, 63.

Azlan kini terlantar sakit di rumahnya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini akibat penyakit gout yang kronik manakala Asmara pula menghidap penyakit buah pinggang dan angin ahmar.

Rozi berkata, program Ziarah Kasih Ramadan itu adalah rutin tahunan UMNO Terengganu untuk menyantuni rakyat jelata di seluruh negeri dan membantu meringankan beban mereka.

“Kebetulan, saya dapat tahu tahap kesihatan Azlan dan Asmara masih tidak memuaskan, jadi saya ambil kesempatan ziarah mereka berdua.

“UMNO Terengganu sangat mengambil berat aspek kebajikan pengamal media kerana mereka bukan membantu UMNO sahaja, malah sumbangan yang diberi sangat besar ertinya untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya berharap mereka berdua terus tabah dengan ujian kesihatan ini dan bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga sebaiknya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Penyakit gout kronik yang dihidapi Azlan semakin kritikal sejak lima tahun lalu dan dia tidak lagi mampu bekerja kerana semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.

Sementara itu, isteri Azlan iaitu Norhaspida Yatim, 39, berkata, kunjungan UMNO Terengganu itu dapat menceriakan suaminya dan meningkatkan motivasi mereka untuk terus bersabar dengan ujian yang dihadapi.

“Saya dan tiga anak iaitu Muhammad Aqif Rayyan, 12; Awatif Nur Adawiyah, 11, dan Awfiyah Nur Umairah, 9 sentiasa berharap dia akan pulih seperti dahulu.

“Harapan tetap ada dan yang penting kami terus berikhtiar mencari penawar dan mendapatkan rawatan yang sesuai,” katanya. – Suara Timur

Related Posts