Negeri

Lelaki ditikam depan rumah angkara dendam

KUANTAN: Dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki ditikam di bahagian perut oleh kenalan sendiri dalam kejadian di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekebun cedera selepas ditikam menggunakan pisau sepanjang kira-kira lima inci di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek dikatakan meminta mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan yang mahu berjumpa, namun mangsa enggan.

Tambah Ashari, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh sepasukan anggota Balai Polis Jaya Gading.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada dendam apabila mangsa didakwa pernah membuat laporan kepada polis berkaitan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang oleh suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan satu rakaman video memaparkan kejadian yang didakwa sebagai insiden tikaman melibatkan dua individu tular di media sosial pada Ahad. – Sinar Harian

Related Posts