KUALA NERUS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika berada di Pantai Sauh, Batu Rakit, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.30 petang, ketika mangsa yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dipercayai berada di pantai berkenaan bersama ibu saudaranya serta empat lagi kanak-kanak lain.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati ibu saudara mangsa yang tinggal di Kampung Batu Rakit dikatakan mengajak lima kanak-kanak termasuk mangsa ke kawasan pantai untuk bersiar-siar sambil melihat ombak dan bermain pasir sekitar jam 6 petang.
Difahamkan selepas setengah jam berada di kawasan pantai, ibu saudara mangsa menyuruh kanak-kanak terbabit membasuh kaki sebelum pulang ke rumah jam 6.30 petang.
“Kesemua kanak-kanak terbabit termasuk mangsa turun ke gigi air untuk mencuci kaki sebelum tiba-tiba ombak besar melanda dan menarik mangsa ke laut,” katanya.
Menurut Azli, seorang saksi awam memaklumkan dia bersama dua lagi rakannya cuba menyelamatkan mangsa sebaik terdengar jeritan meminta tolong, namun gagal berikutan keadaan ombak yang besar dan berbahaya.
“Saksi melihat mangsa dihanyutkan ke arah barat sejauh kira-kira 200 meter sebelum hilang daripada pandangan,” katanya.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan melibatkan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Nerus. – Metro
