Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli terselamat selepas Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya musnah dalam kebakaran di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Paka, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, Wan Hasan bersama isteri Siti Zaliha Mohamad menaiki Toyota Vellfire dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk pulang ke Dungun.
Wan Hasan berkata, setibanya di tempat kejadian, beliau menyedari kenderaan dipandunya mengalami masalah di bahagian enjin.
“Saya memperlahankan kenderaan dan ternampak lampu ‘check engine ‘ menyala di papan pemuka sebelum memberhentikan kenderaan.
“Sebaik berhenti, saya dibantu oleh seorang pengguna lebuh raya yang melihat bahagian bawah enjin berasap,” katanya ketika di sini, hari ini.
Katanya, beliau menghubungi Peronda Plus untuk meminta bantuan dan tidak lama kemudian enjin kenderaannya mula terbakar.
“Api semakin besar menyebabkan saya dan isteri tidak mampu berbuat apa-apa sebelum mengambil barangan penting dan menyelamatkan diri.
“Saya dan isteri pergi ke Perasing, Kemaman untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit, semalam sebelum mengambil keputusan bermalam di Kuantan.
“Pagi ini saya bertolak pulang ke Dungun dan tidak menyangka diuji dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari dan seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Suara Timur