KUALA NERUS : UMNO Terengganu menafikan pihaknya menggunakan wang royalti minyak untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat di negeri itu melalui program turun padang yang dijalankan selama ini.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, tuduhan tersebut adalah berniat jahat dan mahu memberikan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO negeri Terengganu.
Sebaliknya, Rozi menegaskan semua wang yang diagihkan kepada golongan fakir miskin adalah wang yang diusahakan parti tanpa melibatkan duit royalti.
“UMNO Terengganu usaha sendiri sediakan dana bantuan sebab kita sebagai pemimpin kena fikirlah, cari macam mana cara yang sesuai agar kita ada peruntukan untuk membantu dan membela rakyat.
“Pemimpin UMNO pun ada sumber sendiri (jadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan), kita tak guna wang royalti pun dan kita tak pernah masuk campur hal tersebut,” katanya di sini, malam tadi.
Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa kononnya kepimpinan UMNO negeri menggunakan wang royalti untuk diberikan kepada rakyat.
Tuduhan itu dibuat setelah melihat ada pemimpin parti tersebut yang menghulurkan sampul wang dengan logo UMNO.
Mengulas lanjut, Rozi berkata, ada pemimpin UMNO mengadakan kerjasama dengan syarikat tertentu yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membantu fakir miskin.
“Tradisi UMNO adalah membela rakyat dan paling penting kita tidak gunakan wang royalti seperti tuduhan yang dilemparkan itu,” katanya. – Utusan Malaysia