Negeri

Pemuda sukarela potong rumput, bersih kawasan di bandar Kota Bharu

KOTA BHARU: Seorang anak muda berkorban masa dengan melakukan kerja komuniti, termasuk mencuci longkang, memotong rumput di tepi jalan, membuang dahan pokok, mencuci pondok menunggu bas dan membersihkan kaki lima di laluan pejalan kaki di bandar ini untuk memastikan ia selamat dilalui.

Kerja komuniti dilakukan sejak empat bulan lalu itu pada awalnya untuk mengisi masa lapang sahaja, sebelum ia menjadi rutin hampir setiap hari ketika ada kelapangan.

Pengasas Hiyaz Community, Rizal Amin, 24, berkata pada awalnya dia melakukan kerja pembersihan itu secara sukarela seorang diri untuk memastikan bandar ini sentiasa terjaga dan bersih.

Katanya, aktiviti itu kemudian dimuat naik di laman TikTok untuk memberi inspirasi kepada orang lain serta mengajak orang ramai untuk sama-sama membuat kerja pembersihan di lokasi terbiar.

“Dua rakan baik saya berminat untuk menyertai dan mereka juga meluangkan masa membersihkan kawasan terbiar bersama saya.

“Kami melakukan kerja komuniti ini dengan ikhlas kerana mahu memastikan bandar ini yang menjadi pusat pelancongan sentiasa bersih,” katanya ketika ditemui di Pintu Geng di sini, hari ini.

Rizal yang bekerja sendiri sebagai pereka grafik berkata, kerja komuniti itu kebiasaan dilakukan pada waktu pagi atau petang sekiranya dia mempunyai masa terluang.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia menggunakan pelbagai peralatan termasuk mesin rumput, mesin penyapu daun, penyapu besi, galah dan beberapa peralatan lain.

“Alat ini saya beli dan ada buat sendiri untuk menyesuaikan dengan lokasi pembersihan. Ada lokasi perlukan galah panjang seperti mencuci atap pondok bas terbiar dan sesetengah kawasan perlu guna mesin rumput.

“Saya akan bawa alat yang sesuai dan meluangkan masa mencuci lebih dua jam setiap sesi,” katanya.

Beliau berkata, minat melakukan kerja kebajikan itu timbul ketika berusia 15 tahun, namun ketika itu dia hanya membantu Allahyarham ibu, Rubiah Alias membersihkan laman rumah.

Katanya, dia juga mempelajari cara menggunakan mesin rumput dengan arwah ibu dan menjadi mahir.

“Saya menggunakan kemahiran yang ada untuk berbakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama mengajak orang ramai untuk sama-sama melakukan kerja komuniti.

“Saya juga menyeru pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) supaya sentiasa memantau kawasan termasuk lokasi terbiar yang dipenuhi rumput panjang yang membahayakan pengguna,” katanya. – Berita Harian

Related Posts