Negeri

Pembantu tadbir rugi RM123,705 ditipu tawaran kerja sambilan dalam talian

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Seorang pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan mengalami kerugian
RM123,705 setelah terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa seorang perempuan berusia 48 tahun itu menerima satu bungkusan hadiah berupa mop lantai daripada suspek melalui aplikasi TikTok kerana telah memberi komen dan pendapat terhadap barangan tersebut pada  30 September lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘Feedback Fusion 2025’ dan diberi pautan untuk kerja sambilan serta menerima komisen sebanyak RM80.

Setelah itu, katanya, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram ‘RM205 Tugasan Misi’ dan diberi tawaran kerja dengan pilihan modal dan pulangan keuntungan yang akan diterima.

“Untuk tugasan tersebut, mangsa perlu membayar RM205.00 sebagai permulaan modal pilihan.

“Bagi setiap tugasan kerja yang lain, mangsa telah membuat 19 kali transaksi ke lapan akaun yang berlainan dengan jumlah keseluruhan RM123,705 bermula pada tarikh 4 Oktober hingga 5 Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Razi memberitahu, mangsa tidak pernah menerima apa-apa pulangan keuntungan sehingga laporan polis dibuat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Razi menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau tawaran kerja atas talian di mana-mana laman sosial dari individu yang tidak dikenali. – Suara Timur





Related Posts