Negeri

Dua warga Turkiye hilang, seorang selamat, kapal layar dipukul ribut


KUALA TERENGGANU: Dua pelayar warga Turkiye hilang, manakala seorang selamat apabila kapal layar dinaiki mereka karam dipukul ribut di perairan Pulau Yu di sini.

Kejadian berlaku Selasa lalu ketika mereka dalam pelayaran dari Pulau Tioman menuju ke Pattani, sebelum karam kira-kira 30 batu nautika dari perairan Pulau Yu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kapal layar berkenaan dipercayai milik warga Turkiye berdasarkan bendera negara yang terdapat pada badannya.

“Seorang daripada mangsa dikenali Ates Demiroren diselamatkan kru kapal tunda tempatan selepas 25 jam hanyut di laut, manakala kepten kapal dan seorang lagi mangsa belum ditemui.

“Mangsa yang selamat telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Hamiludin berkata, Operasi Carilamat mangsa diaktifkan pada 3 petang tadi dengan menggerakkan Bot Peronda Perkasa 48 untuk mengesan mangsa hilang.

Orang ramai khususnya warga maritim mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357.- Harian Metro

Related Posts