Home NegeriNetizen dakwa sampah bertimbun di kawasan sekolah

Netizen dakwa sampah bertimbun di kawasan sekolah

oleh suara timur

KEMAMAN: Timbunan sampah dalam kawasan sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini didakwa menimbulkan pencemaran bau sekali gus mengganggu keselesaan murid dan warga sekolah.

Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna media sosial menerusi hantaran di Facebook yang mempersoalkan tahap kebersihan di kawasan sekolah berkenaan serta tindakan kontraktor pembersihan yang dilantik.

Menurut hantaran tersebut, bau busuk daripada timbunan sampah berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan persekitaran pembelajaran murid sekiranya tidak ditangani segera.

“Pencemaran bau kepada murid-murid. Apa sudah jadi dengan kontraktor pembersihan sekolah? Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman tidak ambil tindakan ke?” katanya dalam hantaran itu hari ini.

banner

Sementara itu, di ruangan komen hantaran berkenaan, seorang pengguna mendakwa terdapat sebuah lagi sekolah kebangsaan di daerah ini turut berdepan masalah longgokan sampah dan pencemaran bau yang teruk di dalam kawasan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak sekolah, kontraktor pembersihan mahupun Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman berhubung dakwaan tersebut.

Orang ramai berharap isu berkenaan dapat diberi perhatian segera bagi memastikan kebersihan dan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara. – Suara Timur

Tinggalkan komen