JERTIH – Pemandu bot terlibat dalam tragedi yang mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, di sini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.
Azrie Yazid, 22, didakwa telah memasukkan dadah ke dalam badannya disyaki jenis Nimetazepam yang tersenarai dalam Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Besut, di sini pada jam 10.05 pagi, 29 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan.
Mahkamah membenarkan Azrie diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin manakala tertuduh diwakili peguam Norhuda Mohamed Khan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata, pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu. – Sinar Harian