Mahkamah dan Jenayah Negara

Eda Ezrin, suami dan empat rakan kekal di penjara

NARATHIWAT, THAILAND:  Penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat rakannya tetap kembali semula ke Penjara Wilayah Narathiwat meskipun mereka dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada Khamis.

Tindakan itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah membebaskan kesemua rakyat Malaysia itu.

Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz berkata, pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.

“Jika tiada sebarang tindakan oleh pihak pendakwa raya, kesemua mereka akan dibebaskan.

“Namun mereka perlu berada di penjara sekurang-kurangnya sebulan sehingga empat bulan lagi, menunggu pihak pendakwa raya sama ada mahu memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini,” katanya.

Ujar beliau, namun jika sebulan sudah tamat, pihak pendakwaan boleh membuat rayuan pada bulan kedua.

Sufian memberitahu, kebiasaannya pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan dalam tempoh sebulan ini.

Beliau berkata, sekiranya rayuan yang dibuat oleh pihak pendakwaan selepas ini memihak kepada anak guamnya sebagaimana hari ini, maka kes berkenaan dianggap selesai sepenuhnya.

Sinar Harian melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.

Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik. – Sinar Harian

Related Posts