Negeri

Pekerja pembalakan maut diserang gajah mengamuk

GUA MUSANG: Seorang pekerja pembalakan maut dalam keadaan mengerikan selepas diserang gajah yang mengamuk di kawasan penempatan pekerja di Aring 8 di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa berusia 43 tahun dikatakan berada di kawasan rumah kongsi sebelum sekumpulan gajah liar muncul.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, beberapa rakan sekerja mangsa melarikan diri selepas menyedari kehadiran haiwan itu.

“Sekawan gajah dilihat berada di kawasan penempatan pekerja terbabit sebelum menyerang mangsa.

“Mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa ditemui maut pada jam 7 pagi keesokan harinya dalam keadaan tragis dengan kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

“Pekerja-pekerja lain yang masuk semula ke kawasan itu menemukan mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. – Sinar Harian

Related Posts