KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) berjanji akan memperkenalkan semula Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya diberi mandat menjadi kerajaan dengan pemberian tunai sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rakyat akan diberi kebebasan untuk berbelanja menggunakan bantuan tersebut.
“Daripada apa yang dibentangkan kerajaan, PN yakin bahawa kedudukan fiskal negara mempunyai keupayaan untuk kami memperkenalkan BPN sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.
“Berbeza dengan bantuan yang bersyarat dan terhad seperti skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) yang mengekang pilihan rakyat, PN akan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menentukan sendiri perbelanjaan mereka di mana dan apa yang mereka perlukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Di bawah skim SARA, kerajaan memperuntukkan bantuan berbentuk kredit tanpa tunai berjumlah antara RM100 hingga RM1,200 setahun kepada penerima isi rumah miskin tegar dan miskin, berdasarkan data eKasih.
Bantuan itu hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan asas terpilih di pasar raya yang mengambil bahagian.
Pada 31 Ogos lalu, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas menerima RM100 menerusi Penghargaan SARA.
Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan sekali lagi akan memberi bantuan SARA sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas pada tahun hadapan.
Perdana Menteri yang membuat pengumuman itu berkata, bantuan tersebut akan disalurkan pada pertengahan Februari dan boleh dimanfaatkan untuk persiapan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina.