Negara

Perkasa pondok lawan pengaruh sekular – PM

MACHANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan institusi pondok perlu diperkasa semula sebagai benteng menghadapi pengaruh sekular, kerosakan moral dan cabaran teknologi masa kini.

Beliau berkata, sejak zaman penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sekolah pondok menjadi tunjang mempertahankan Islam, malah pernah menjadi benteng menentang penjajah suatu ketika dahulu.

“Kita pilih pondok-pondok ini dan jadikan ia benteng semula. Barulah Madani dalam erti kata sebenar.

“Dulu benteng lawan penjajah, sekarang benteng lawan pengaruh sekular yang merosakkan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM1.03 juta kepada institusi pondok yang menghadiri Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025.

Beliau turut mengadakan pertemuan tertutup dengan guru-guru pondok bagi membincangkan usaha memperkasakan institusi pendidikan agama Islam itu. – Sinar Harian

Related Posts