Negara

Siasat bina kuil dekat surau PERKIM

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu mencadangkan siasatan terperinci terhadap pembinaan sebuah kuil berdekatan surau PERKIM di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pengerusinya, Prof. Dr. Ramle Abdullah berkata, siasatan itu melibatkan status
tanah, kelulusan dan pematuhan undang-undang berhubung pembinaan kuil tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertindak tegas dan adil terhadap
sebarang pembinaan haram, tanpa tunduk kepada tekanan atau sentimen
perkauman.

“Kami juga mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan mewujudkan pelan
induk pembangunan rumah ibadat yang lebih tersusun.

“Pembangunan tersebut perlu mengambil
kira sensitiviti lokasi,kepadatan penduduk dan peranan institusi sekelling. Ini kerana, perlu ada satu mekanisme tetap di bawah kerajaan Pusat untuk menangani isu-isu sensifiviti lokasi rumah ibadat secara berstruktur dan mengikut lunas perundangan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil tindakan tegas termasuk merobohkan binaan sebuah kuil berdekatan Jalan Ipoh, di sini, yang didakwa tidak mendapat kebenaran.

Naib Yang Dipertua PERKIM, Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, pembinaan kuil itu mengundang keresahan khususnya dalam kalangan umat Islam setempat memandangkan dibangunkan kurang 10 meter dari surau PERKIM.

Dalam pada itu, Ramle menambah, PERKIM sentiasa berpegang kepada prinsip dakwah Islam yang penuh hikmah dan bertoleransi,
namun prinsip ini tidak bermakna pihaknya akan berdiam diri apabila berlaku pencabulan terhadap ruang dakwah Islam yang sah.

“Kami menegaskan bahawa toleransi tidak harus menjadi lesen untuk membelakangi undang-undang atau mencabar kesabaran masyarakat majoriti.

“Kami menyeru seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia yang menjunjung nilai keamanan serta keadilan supaya berdiri bersama dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts