Negara

‘Badan Kehakiman bebas, anugerah paling berharga kepada masyarakat’ – Wan Ahmad Farid

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pernah menyatakan bahawa kebebasan Badan Kehakiman perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.

Memetik kata-kata Wan Ahmad Farid dalam salah satu penghakiman beliau pada 16 Jun 2022 ketika menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, apabila ia (kebebasan Badan Kehakiman) sudah tidak wujud, maka anarki akan berleluasa.

“Ia bukannya mengenai soal percubaan dan kesilapan kerana Badan Kehakiman yang bebas adalah anugerah paling berharga kepada mana-mana masyarakat,” katanya dalam penghakiman itu.

Wan Ahmad Farid, 62, menyatakan demikian ketika menarik diri daripada mendengar permohonan peguam kanan (QC) dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk bagi mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu mengambil keputusan demikian bagi mengelakkan kesangsian persepsi awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman kerana salah seorang ahli keluarganya terbabit secara aktif dalam parti UMNO.

Dalam keputusannya, Wan Ahmad Farid berkata, persepsi awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman tidak boleh diragui.

Hakim itu berkata, umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai Ahli Parlimen, beliau adalah ahli politik yang aktif dan pada suatu ketika pernah menjadi ahli pentadbiran dan Ahli Dewan Negara.

Katanya, ketika menyertai Badan Kehakiman, beliau sudah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah disertai dan selepas mengangkat sumpah sebagai anggota badan kehakiman, satu-satunya tugasnya ialah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa gentar atau pilih kasih.

Beliau membuat keputusan berkenaan walaupun tiada permintaan dibuat oleh mana-mana pihak di sini (supaya saya menarik diri), daripada mendengar saman pemula terbabit.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada 1985 dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya pada 1986, Wan Ahmad Farid memulakan kerjaya guamannya sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu dari tahun 1987 hingga 2003.

Beliau yang juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik, pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dari tahun 2003 sehingga tahun 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 2008 hingga tahun 2009.

Antara tahun 2011 hingga 2015, beliau kembali ke bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di firma guaman Tetuan Wan Farid & Surin, di Kuala Lumpur.

Dalam karier kehakiman pula, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015 dan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari tahun 2015 hingga tahun 2019.

Pada 12 November 2024, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Pada 15 Februari 2024, Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, meskipun pengisytiharan Darurat dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 150, Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan tidak bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dibatalkan di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga antara panel pada 24 Jun lalu yang membenarkan rayuan Kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan bagi mengetepikan perintah supaya ia memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng itu sebulat suara membuat keputusan itu dan mengarahkan pampasan dibayar kepada syarikat berkenaan, yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dengan bantuan analisis pakar.

Pada 4 Mac 2024, beliau menolak permohonan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa Allahyarham Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Pada 11 Mei 2023, Wan Ahmad Farid menolak permohonan semakan kehakiman ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Pada 11 Mei 2023, Wan Ahmad Farid menolak permohonan semakan kehakiman ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, tiada bukti dikemukakan bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Katanya, ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Bagaimanapun, keputusan itu diketepikan Mahkamah Rayuan dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Mei 2023, Wan Ahmad Farid membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan isteri Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin dan memerintahkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan aktivis sosial itu dikeluarkan kepada wanita terbabit. – Berita Harian

Related Posts