TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, 54.
Beliau akan berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Senarai calon bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, pada jam 10.23 pagi selepas proses penamaan di Dewan Merdeka, di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
Bawani yang menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat penamaan bersama penyokong dengan menaiki traktor sebagai gimik pula menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.15 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini. – Berita Harian