KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan akan ada tangkapan baharu membabitkan pempengaruh media sosial dan pengasas produk kosmetik dari negeri ini yang disyaki terbabit dalam aktiviti dadah.
Beliau berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah, tanpa mengira populariti atau status mereka.
Katanya, pihak polis bukan saja memfokuskan kepada tokoh awam, malah akan menjejaki pelaku utama dalam rangkaian pengedaran dadah.
“Beberapa pempengaruh media sosial dan pengasas produk kosmetik dari negeri ini masih berada di bawah pemantauan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.
“Insya-Allah, akan ada tangkapan baharu tidak lama lagi. Mereka yang terbabit dalam kegiatan dadah ini akan kami kesan satu demi satu.
“Kita bukan hanya lihat kepada pempengaruh atau pengasas kosmetik saja, sebaliknya juga pengedar dan dalang utama di sebalik kegiatan ini tidak akan terlepas,” katanya.
Amaran itu dikeluarkan Mohd Yusoff susulan tindakan penguatkuasaan lebih agresif terhadap sindiket dadah di Kelantan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sejak awal tahun ini, polis Kelantan melancarkan beberapa operasi berimpak tinggi, termasuk Ops Taring Wawasan yang membawa kepada penangkapan besar-besaran dan rampasan dadah berskala besar seperti daun ketum, syabu serta pil ekstasi. – Berita Harian