SHAH ALAM – Pemegang MyKad melebih tempoh 10 tahun dinasihatkan untuk menukar kad baharu bagi memudahkan urusan menebus bantuan RM100 dibawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), usia kad yang terlalu lama memberi risiko cip gagal dibaca kerana haus atau terpadam.
Selain itu, beberapa tanda kerosakan lain bagi MyKad juga boleh dikenal pasti sebagai isyarat sudah sampai masa untuk menukar kad baharu.
“Ramai dah mula cek MyKad kan? Tak perlu serbu kaunter JPN hanya untuk semak MyKad.
“Pastikan dulu ada tanda kerosakan seperti kad gagal dibaca ketika berurusan di kiosk layan diri, bank atau agensi kerajaan tolak urusan kerana sistem tidak dapat mengesan data kad, terdapat kerosakan pada kad seperti calar, retak dan bengkok,” Menurut JPN dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Hantaran yang memberi fokus kempen #AmbilTahu itu turut memuat naik poster grafik tips dan langkah berkaitan.
JPN menambah, sekiranya pemegang MyKad mengalami masalah tersebut, penggantian MyKad boleh dibuat segera menerusi beberapa kaedah antaranya permohonan secara dalam talian dan hadir ke cawangan JPN berdekatan.
Menerusi hantaran sama, JPN turut berkongsi beberapa tip penjagaan untuk mengelak berlaku kerosakan dan perlu mengeluarkan kos gantian.
Bantuan SARA secara one-off bernilai RM2 bilion itu memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Setiap penerima boleh menggunakan bantuan ini mulai 31 Ogos hingga 31 Disember di lebih 4,100 premis termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart. – Sinar Harian