KUALA TERENGGANU: Larangan penjualan dan penajaan produk rokok elektronik (vape) di semua premis di seluruh negeri ini bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya demi memastikan rahmat dan kebaikan jangka panjang buat seluruh negeri dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu adalah manifestasi kepada prinsip Islam bahawa mencegah lebih utama daripada mengubati serta menzahirkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memelihara kesihatan rakyat.
Beliau berkata, kesan buruk penggunaan vape semakin terbukti terutama membabitkan golongan muda di sekolah.
Katanya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga 30 September 2024, sebanyak 41 kes penyakit ‘E-cigarette’ or ‘Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) telah dilaporkan di negara ini dengan kos rawatan dianggarkan sebanyak RM150,892.11 bagi setiap pesakit.
“Jika langkah pencegahan tidak diambil, beban kos rawatan dijangka melonjak ke paras RM368 juta setahun menjelang 2030.
“Terkini, beberapa hospital kerajaan melaporkan peningkatan kes remaja yang mengalami komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru akibat penggunaan vape yang tidak terkawal.
“Apakah kita mahu terus membiarkan ‘racun’ ini berlegar di tangan generasi muda kita?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya wajib memelihara nyawa, akal dan keturunan sebagaimana dituntut dalam Maqasid al-Syariah.
Katanya, kerajaan turut menyediakan alternatif di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi pengusaha vape yang terjejas.
“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat khususnya ibu bapa, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berautoriti untuk bersama-sama mendukung usaha ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk vape di semua premis seluruh negeri bermula 1 Ogos depan.
– Berita Harian