Home NasionalPokok tualang berusia lebih 120 tahun di Jalan Gua musang akhirnya ditebang

Pokok tualang berusia lebih 120 tahun di Jalan Gua musang akhirnya ditebang

oleh suara timur

GUA MUSANG: Pokok tualang yang dianggarkan berusia lebih 120 tahun terletak di Jalan Gua Musang-Kota Bharu, berhampiran Kampung Sungai Bayu, di sini, ditebang hari ini.

Pokok tualang terbabit yang dianggarkan setinggi kira-kira 60 meter itu sebelum ini pernah tular apabila pengguna mendakwa pernah berlaku beberapa kejadian kemalangan maut di kawasan pokok terbabit.

Malah pokok yang mempunyai lilitan batang sebesar tiga pemeluk itu ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A.

Projek Koordinator LTU Pakej 2 A, Fizal Irwan Abdul Wahid berkata, proses menebang pokok terbabit dilakukan selepas mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan kerana ia berada di kawasan jajaran jalan yang kini dalam pembinaan.

banner

Pihaknya mengambil masa selama hampir tiga jam untuk menebang pokok itu membabitkan 40 petugas yang mengawal selia sepanjang operasi pokok itu ditebang.

“Alhamdulillah…. Akhirnya pokok ini berjaya ditebang selepas hampir tiga jam operasi dilakukan. Langkah keselamatan rapi dilaksanakan sepanjang operasi memandangkan saiz pokok yang besar memberi risiko kepada pekerja dan pengguna jalan di kawasan sekitar.

“Operasi bermula pukul 9.15 pagi membabitkan pelbagai pihak termasuk perunding, kontraktor utama dan sub kontraktor selain tamat pada jam 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi penebangan pokok di Kampung Sungai Bayu, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Relai Utara, Mohd Sopian Che Seman melahirkan rasa terkilan apabila pokok tualang yang menjadi mercu tanda Kampung Sungai Bayu sejak beratus tahun lalu terpaksa ditebang.

Bagaimanapun, dia dan penduduk di kampung terbabit memahami sebab ia ditebang bagi memberi laluan pembinaan LTU yang bakal memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna jalan raya.

“Jika kita melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pokok tualang ini menjadi mercu tanda. Namun disebabkan pembangunan kita terpaksa korbankan.

“Insya-Allah walaupun pokok ini sudah tiada selepas ini, kita berharap projek LTU Pakej 2A yang sedang rancak berjalan dapat disiapkan mengikut jadual bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen