Home NegeriTiga ekor anak Harimau Bengal Putih jadi tarikan baharu Zoo Kemaman

Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih jadi tarikan baharu Zoo Kemaman

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN:  Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan kepada orang ramai hari ini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Kemaman, Bukit Takal, Kijal dekat sini.

Ketiga-tiga anak harimau jantan itu yang masing-masing bernama Rory, Bima dan DB, merupakan hasil pembiakan pasangan Harimau Bengal Putih, Lela Andika dan Luna Seroja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata
anak-anak harimau berkenaan dilahirkan di Zoo Kemaman pada 14 Mac lepas selepas Luna Seroja melalui tempoh bunting selama 104 hari.

banner

Menurutnya, kelahiran tiga ekor anak harimau itu adalah satu pencapaian membanggakan kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku bagi spesies Harimau Bengal Putih.

ZOO Kemaman akan menjadi  tumpuan apabila  tiga ekor anak Harimau Bengal Putih mula dipamerkan kepada orang ramai. – SUARA TIMUR/MUKHTAR A RAHMAN

“Kelahiran tiga ekor anak harimau itu merupakan satu pencapaian membanggakan kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku bagi spesies Harimau Bengal Putih.

“Harimau Bengal Putih lazimnya melahirkan hanya satu hingga dua ekor anak bagi setiap kelahiran. Namun kali ini, Luna Seroja berjaya melahirkan tiga ekor anak jantan sekali gus menjadikan kelahiran ini amat istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Rasmi Anak-anak Harimau Bengal Putih di Ruang Pameran Zoo Kemaman, di sini, semalam.

RAZALI IDRIS

Harimau Bengal Putih atau ‘Panthera Tigris-Tigris’ adalah variasi genetik yang jarang ditemui dan terkenal dengan bulu berwarna putih serta belang hitam, menjadikannya antara spesies yang paling mendapat perhatian di zoo di seluruh dunia.

Beliau memberitahu, pasangan Harimau Bengal Putih itu yang kini berusia dua tahun berasal dari Cape Town, Afrika Selatan sebelum dibawa ke Zoo Kemaman pada 2024.

“Anak-anak harimau berkenaan membesar dengan baik bersama induknya sebelum bersedia dipertontonkan kepada orang ramai yang akan menjadi tarikan baharu kepada pengunjung,” ujarnya.

WAN Muzammir Wan Arif menunjukkan anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang dipamerkan kepada orang ramai di Zoo Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sementara itu, Pengarah Zoo Kemaman, Wan Muzammir Wan Ariff berkata zoo berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak 2009 kini menempatkan kira-kira 380 ekor haiwan daripada pelbagai spesies.

Katanya, Zoo Kemaman merekodkan kehadiran kira-kira sejuta pengunjung sepanjang tahun lepas.

“Penampilan tiga ekor anak Harimau Bengal Putih ini dijangka menjadi tarikan utama Zoo Kemaman dan dijangka jumlah pengunjung meningkat kepada lebih 1.5 juta orang tahun ini,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen