Mahkamah dan Jenayah

Lelaki Malaysia ditahan bawa senjata M16, ratusan peluru di Sadao

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

SADAO, SONGKHLA: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas didapati membawa senjata api perang jenis M16 bersama ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya ketika melalui sekatan polis di Sadao, Songkhla.

Media Thailand melaporkan, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.35 petang di sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao di bawah arahan Ketua Polis Sadao, Kol. Polis Surachit Phetchajom.

Laporan itu memberitahu, sekatan itu diadakan di Jalan Kanchanawanit Sadao–Danok, hadapan Pondok Polis Ban Danok, Mukim Samnak Kham, Daerah Sadao sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.

SENJATA api jenis M16 yang dirampas polis Thailand.

Ketika operasi, sebuah kereta sedan Kia putih bernombor pendaftaran Malaysia PPM5444 dilihat mencurigakan.

Polis menahan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan, dan pemandunya disahkan sebagai Yeap Soon Eie.

Daripada pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui dua laras raifal M16,
300 butir peluru kaliber 5.56 mm, tujuh magazin peluru 5.56 mm, 100 butir peluru kaliber .45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm

Kesemua senjata dan peluru berkenaan telah dirampas sebagai barang kes untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat tujuan sebenar pemilikan senjata perang dan peluru dalam jumlah besar itu termasuk kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah atau rangkaian tertentu di kawasan sempadan.

Menurut polis, siasatan rapi sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat Kapt. Polis Phairoj Wongthawin, Ketua Unit Siasatan Balai Polis Sadao, bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur ancaman keselamatan lebih besar. – Suara Timur



Related Posts