Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Gara-gara tidak berpuas hati terhadap mangsa yang masih mempunyai gambar bekas kekasihnya yang kini merupakan kekasih, suspek telah dipukul sembilan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, bulan lalu.
Sembilan pelajar terlibat direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu, bagi membantu siasatan kes pukul tersebut.
Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd, bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam susulan pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 14 tahun.
“Mangsa mendakwa dia dipukul beberapa orang pelajar pada 27 dan 28 Mei lalu.

“Kejadian itu dikatakan berpunca apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang masih mempunyai gambar bekas kekasihnya yang kini merupakan kekasih suspek,” katanya.
Mohd Razi berkata, suspek bersama rakan-rakannya telah memukul mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan belakang badan.
“Pihak polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya. – Suara Timur