Mahkamah dan Jenayah

Pesara kerajaan rugi RM193,000 terperdaya penyamaran tipu panggilan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang wanita berusia 63 tahin mengalami kerugian RM193,000 setelah terperdaya dengan penyamaran tipu panggilan bermula pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman,Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pesara kerajaan itu mendakwa telah menerima panggilan telefon yang menyamar sebagai ejen insurans Takaful Malaysia dan pegawai polis mengatakan pengadu telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam pengubahan wang haram.

Menurutnya, mangsa kemudian telah menyerahkan maklumat kad ATM serta kata laluan keselamatan akaun bank simpanan pencen miliknya kepada suspek.

“Pada 8 Julai 2025, pengadu menyedari terdapat sebanyak 20 kali transaksi pindahan wang dalam talian ke dalam empat akaun bank yang berbeza bermula pada 29 Mei 2025 sehingga 8 Julai 2025 dan pengadu telah mengalami kerugian RM 193,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Razi memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutama apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Jelasnya,  orang ramai perlu semak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan oleh saspek melalui aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan secara dalam talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

“Orang ramai juga diseru agar mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan Tik-Tok bagi mengetahui modus operandi terbaharu Jenayah Komersil.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts