Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Polis menahan dua penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram dalam operasi samseng jalanan di Jalan Telaga Simpul, Chukai, di sini, pada pukul 5 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas sebuah video berdurasi 11 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal sedang berlumba dan menunggang motosikal secara melulu, tular di laman sosial sejak pagi Jumaat.
Katanya, menerusi operasi itu, polis telah mengeluarkan 61 saman atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya dan lima buah motosikal turut disita.

“Hasil siasatan awal mendapati, kegiatan lumba haram di kawasan itu telah bermula sejak tiga minggu lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Razi berkata, kedua-dua lelaki ini juga ditahan reman sehingga hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkitan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Dalam pada itu, Mohd Razi turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan prihatin terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak yang menunggang motosikal.
“Aktiviti lumba haram bukan hanya melanggar undang-undang, tetapi boleh membahayakan keselamatan diri dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Suara Timur