Mahkamah dan Jenayah

Pemandu lori keluar kata kesat, dipukul empat individu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori dipukul empat lelaki termasuk polis bantuan dipercayai enggan memberikan kerjasama untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengeluarkan kata-kata kesat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian yang turut tular di laman sosial itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di sini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 30 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa yang baru selesai menghantar barang mengudurkan lorinya untuk keluar dari kawasan KSB.

“Polis bantuan yang bertugas melarang mangsa untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mohd Razi berkata, pemandu lori itu juga dikatakan telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mencabar polis bantuan untuk menumbuknya.

“Pemandu lori itu masih membuat pemeriksaan di Hospital Kemaman. Dia mengadu mengalami sakit di beberapa anggota badan termasuk mata kiri, mulut, lengan dan belakang kepala. Kita masih belum menerima laporan perubatan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 0.32 saat yang memaparkan pemandu lori itu dipukul beberapa individu  sebaik sahaja dia turun dari lorinya.

Video itu turut menimbulkan pelbagai reaksi warganet.  – Suara Timur

Related Posts