PADANG BESAR – Polis Perlis mendedahkan laluan aktif penyeludupan di kawasan terbuka sempadan Wang Kelian, dekat sini yang tidak mempunyai tembok dan pagar.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya telah melaksanakan tinjauan khas yang melibatkan pelbagai elemen termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas, Unit Risikan Sempadan serta Batalion 18 Pasukan Gerakan Am bagi meninjau kawasan terlibat
“Penugasan itu dijalankan bagi menilai ancaman serta mengenal pasti laluan aktif yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa keluar daun ketum dan bahan terlarang.
“Dalam tinjauan tersebut, kita kesan terdapat laluan penyeludupan yang diaktifkan semula di zon Wang Kelian,” katanya pada sidang akhbar Pos PGA Wang Kelian, dekat sini hari ini.
Menurut Muhammad, siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan bijak mengambil kesempatan terhadap ketiadaan pagar di kawasan berbukit dan terpencil untuk membuka laluan keluar masuk ke negara jiran.
Katanya, tinjauan dilakukan di laluan sejauh empat kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke garis sempadan dengan permukaan bumi berbukit yang curam.
“Di sepanjang laluan itu, kita temui kesan pergerakan dan tinggalan makanan serta minuman yang menunjukkan aktiviti ini dipercayai dijalankan dalam skala besar.
“Bagi membendung perkara ini, Kontinjen Polis Perlis mengarahkan unit risikan dan JSJ untuk terus menjejak laluan yang dikenal pasti serta mengumpul maklumat dalam masa terdekat,” ujarnya. – Kosmo