Mahkamah dan Jenayah

Polis tahan lapan lelaki curi lembu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun selepas disyaki terlibat dalam kes mencuri lembu di Ladang Pinang Mas, Bukit Besi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, suspek berusia lingkungan 17 hingga 73 tahun ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, suspek ditahan selepas setengah jam seorang penternak lembu membuat laporan polis.

“Seorang penternak lembu menghubungi polis kira-kira pukul 2 pagi selepas menyedari seekor lembu di kandangnya hilang.

“Susulan itu, anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan anggota polis Balai Bukit Besi terus bertindak pantas melakukan operasi mencari suspek. 

“Hasil operasi, kita berjaya menahan lapan lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu bersama rampasan yang signifikan dengan kes ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan, pihaknya merampas 18 keratan anggota badan lembu, senjata api jenis senapang patah bersama peluru hidup, dua buah kenderaan, beberapa bilah pisau dan alat pemotong daging serta beberapa buah telefon bimbit.

“Semakan lanjut ke atas senjata api yang dirampas mendapati ia didaftarkan atas nama salah seorang suspek yang memiliki kad senjata yang sah.

“Tujuh suspek ditahan reman selama empat hari manakala seorang lagi suspek iaitu remaja berusia 17 tahun direman selama dua hari hingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Senjata 1960, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015. – Suara Timur

Related Posts