Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Lebih 60 orang peneroka Zon Dua, Felda Kerteh Empat, di sini membuat kelainan bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan menghasilkan lukisan dinding atau mural.
Mural bertemakan ‘Kemerdekaan’ itu dihasilkan untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara dan para pejuang kemerdekaan satu masa dulu yang menggabungkan semangat seni, kreativit, dan perpaduan seluruh komuniti Felda.
Peneroka terbabit bergotong-royong sejak seminggu lalu melukis dan mewarnakan mural sepanjang 16 meter berkonsepkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan rakyat.
Mural berkenaan akan menjadi satu mercu tanda baharu di kawasan penempatan mereka dan juga tempat untuk memperkenalkan tokoh-tokoh serta para pejuang kemerdekaan negara.
Menurut ketua pelukis mural, Puteri Balqis Halim, mural sepanjang 16 meter itu dilakukan secara bergotong-royong bermula awal Ogos lalu dan menjadi simbol semangat patriotisme masyarakat Felda di situ.

“Nak tunjuk kepada anak muda sekarang bahawa kemerdekaan penting, tanpa merdeka, kita tak tahu ada kat mana sekarang,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Katanya, selain mencantikkan kawasan penempatan mereka, aktiviti berkenaan turut menjadi platform bagi mengeratkan tali silaturahim para penduduk pelbagai usia.
Ujar Puteri Balqis, mural menjadi medium penyampaian maklumat berkaitan kemerdekaan dan mengingatkan generasi muda tentang pahit jerih para pejuang kemerdekaan dahulu.
Seorang penduduk berkata, mural berkenaan bukan sekadar hiasan dinding sebaliknya satu warisan seni yang dapat meniup semangat kenegaraan dan sebagai bukti cinta kepada negara. – Suara Timur