Negeri

Kemas Terengganu laksana program Thalatha Tis’a di tiga taska

DUNGUN : Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Terengganu melaksanakan program Thalatha Tis’a di tiga taska di negeri ini dalam usaha melahirkan generasi celik Al-Quran seawal usia tiga tahun.

Pengerusi Komuniti Kemas Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pada peringkat permulaan, seramai 100 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun terpilih menyertai program perintis itu yang bermula sejak Februari lepas.

Menurutnya, program itu merupakan usaha untuk memperkenalkan pendidikan tahfiz bagi kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan tamat hafazan 30 juzuk Al-Quran sebelum berusia sembilan tahun.

SALAH seorang kanak-kanak perempuan yang menyertai peserta program Thalatha Tis’a di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kita menggunakan modul pengajaran dari Indonesia yang mana selain guru-guru di taska yang mengajar Al-Quran, mereka akan dibantu tiga orang tenaga pengajar dari Indonesia yang juga pakar dalam Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Thalatha Tis’a Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kemas Negeri, Dr Faridah Mat dan Penaung Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh.

IDRIS Jusoh (tengah) hadir pada Program Thalatha Tis’a Ketengah di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Rozi berkata, dua lagi taska perintis yang melaksanakan program itu ialah Taska Kemas PPAK Gong Kepas di Besut dan Taska Kemas PAKR Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya kesemua Lapan Parlimen di Terengganu akan ada satu Taska yang melaksanakan program ini pada tahun hadapan dan kita akan memohon dengan kementerian untuk meluaskan program ini.

“Kita juga mahu pada masa akan datang sebelum usia tujuh tahun, kanak-kanak di negeri ini telah hafaz Al Quran dan program ini turut diperluaskan di semua Taska Kemas,” katanya.

Menurutnya, program ini turut memberi fokus terhadap penguasaan kemahiran seperti baca, hafaz, tulis dan bahasa Arab. – Suara Timur

Related Posts