Oleh MULHTAR A RAHMAN
KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membelanjakan RM150,000 bagi membangun Chukai Smart Park, Taman Awam Bandar Chukai di Jalan Padang, Chukai, di sini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Zuwislan Awang berkata, Chukai Smart Park merupakan salah satu inisiatif MPK dalam merealisasikan aspirasi Kemaman Bandar Pintar 2030 melalui penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih moden, selamat dan mesra pengguna.
“Taman ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berteraskan teknologi pintar seperti Smart Toilet, Smart Compound Light, Mosquito Lamp, Wireless USB Charging Point dan Panic Button, selain laluan lampu LED pintar berkonsepkan motion sensor yang memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Chukai Smart Park, Taman Awam Bandar Chukai di Kemaman Arena Square, Jalan Padang, Chukai dekat sini, Selasa lepas.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chukai, Datuk Hanafiah Mat.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kemasik, Ir. Haji Saiful Azmi Suhaili.

Zuwislan berkata, program ini mencerminkan komitmen MPK dalam memperkasakan agenda bandar pintar serta menyediakan kemudahan awam yang berkualiti demi kesejahteraan dan keselesaan masyarakat.
Katanya, kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah membantu menjadikan pengurusan taman lebih cekap, selamat dan berteknologi.
“Sebagai nilai tambah, MPK turut memasang lampu hiasan pintar berkonsepkan Motion Sensor berasaskan teknologi LED di laluan pejalan kaki sepanjang 32 meter di kawasan Chukai Smart Park
Zuwislan berkata, lebih menarik, imej-imej LED ini akan bertindak balas mengikut pergerakan kita.
“Bila kita berjalan di laluan ini, corak pencahayaan akan berubah mengikut pergerakan pengguna, menjadikan suasana taman lebih hidup dan menarik terutama pada waktu malam,” ujarnya.
Beliau berkata, MPK merupakan pihak berkuasa tempatan kedua di Malaysia yang melaksanakan kemudahan seumpama ini di kawasan rekreasi awam. Projek ini menelan belanja sebanyak RM150,000.
Tambahnya, MPK turut menerima peruntukan berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada bulan Mei lepas bagi pembangunan Taman Rekreasi MADANI, yang dilaksanakan melalui Jabatan Landskap MPK.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam menyediakan ruang rekreasi yang lebih berkualiti, selesa dan berdaya huni untuk dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, bagi menambah nilai serta tarikan di kawasan ini, MPK juga telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi pemasangan water fountain baharu yang kini menjadi salah satu elemen landskap utama di Chukai Smart Park ini.
“Kemudahan ini bukan sahaja memperindah suasana taman, malah mewujudkan persekitaran yang lebih menarik, moden dan mesra pengunjung,” katanya. – Suara Timur
