Politik

Semua jawatan Pusat terbuka dipertandingkan, kecuali Presiden – Tuan Ibrahim

KOTA BHARU: Semua jawatan kepimpinan PAS Pusat terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti itu yang dijangka diadakan September ini, kecuali jawatan Presiden.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut berpandangan jawatan Presiden perlu dikekalkan kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Pada pandangan peribadi saya jawatan Presiden perlu dikekalkan. Begitu juga pandangan PAS kawasan-kawasan yang bersetuju Presiden itu perlu dikekalkan kepada Tan Sri Abdul Hadi.

“Jawatan lain kira terbuka. PAS kawasan kawasan sekarang ini tengah mengadakan mesyuarat agung. Mereka akan mencalonkan sesiapa saja dan terserah kepada jawatankuasa pemilih nak tengok adakah cukup kelayakan untuk jawatan yang dicalonkan kerana ada syarat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kelayakan diperlukan adalah jumlah pencalonan mencukupi untuk membolehkan seseorang itu calon bertanding.

“(Untuk) Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden, Timbalan dan sebagainya perlu mendapatkan beberapa pencalonan untuk membolehkannya bertanding.

“Jawatankuasa pemilih akan maklumkan kepada calon berkenaan sama ada dia dicalonkan. Dia (calon) terima atau tarik diri akan dimaklumkan selepas pencalonan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim berkata, beliau akan melihat dahulu keadaan pencalonan.

“Saya tengok pencalonan berapa kerana semua jawatan terbuka (bertanding)… tidak ada isu.

“Insya-Allah (bertanding) jika diamanahkan oleh kawasan-kawasan yang dicadangkan. Kalau ada pertandingan pun, tidak ada masalah kerana nama-nama yang dicalonkan itu, ahli bebas untuk membuat pemilihan,” katanya. – Berita Harian

Related Posts