Mahkamah dan Jenayah

Bekas juruukur didakwa salah guna kuasa libatkan kontrak RM150,000

KUALA TERENGGANU: Bekas juruukur bahan di Majlis Perbandaran Dungun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak bernilai RM150,000, enam tahun lalu.

Mohammad Hanif Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Penilaian Tender dan Sebutharga dengan mengesyorkan Perniagaan Yusha Timur milik ibu bapanya, Noriah Mamat dan Ahmad Ibrahim kepada Lembaga Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun untuk cadangan membina dan menyiapkan Pusat Pemeliharaan Kucing Terbiar di kawasan Taman Rimba Bandar Bukit Bauk, di atas sebahagian Lot PT15974, Mukim Kuala Paka, Daerah Dungun, bernilai RM150,000.00.

Kontrak itu diberikan kepada perniagaan milik ibu bapanya oleh Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun Kali Ke-2.

Mohammad Hanif didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) ASPRM 2009 dan perbuatan itu dilakukan pada April dan Mei 2019.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.

Related Posts