Mahkamah dan Jenayah

Warga emas, cucu terselamat dalam kebakaran

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seorang warga emas yang mengidap penyakit kencing manis kronik dan cucunya berusoa enam tahun berjaya diselamatkan seorang pemuda dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Binjai, Chukai di sini tengah hari tadi.

Ketika kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu,  mangsa, Nurisah Muda, 60,  bersama cucunya itu sedang berada di dalam rumah tersebut

Menurut Nurisah, pada mulanya, dia terdengar bunyi sesuatu di atas atap dan menyangka haiwan liar seperti kera berada  di atas atap tersebut sebelum menyedari api mula merebak di bahagian tengah rumah.

MOHD KHAIRI MOHD AZIAH

Katanya, dia kemudian menyuruh cucunya keluar rumah dan dia mencapai tongkat lalu keluar sebelum diselamatkan seorang pemuda.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemuda tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Mohd Khairi Mohd Aziah, 32, berkata, dia secara kebetulan dalam perjalanan mengambil anak di Sekolah Kebangsaan Seri Jaya di sini yang terletak 300 meter dari tempat kejadian.

Katanya, dia terus ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita warga emas dalam keadaan lemas dan bertongkat cuba menyelamatkan diri bersama seorang kanak kanak.

“Saya meminta kanak kanak tersebut menyelamatkab diri dan saya mengangkat warga emas itu ke tempat yang lebih selamat,” ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.44 tengah hari.

Menurutnya, seramai 16 anggota bomba dan tiga buah jentera dari Balai Bomba Chukai dan Balai Bomba Kemaman bergegas ke lokasi kejadian diketuai Komander Operasi PBKII Muhammad Azizi Abd Aziz.

“Ketika tiba, api sedang marak dan kita berusaha sedaya upaya memadamkan kebakaran menggunakan air dari pili bomba dan tangki jentera.

“Kita mengambil masa kira-kira 1.16 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak ke kediaman lain,” katanya. – Suara Timur

Related Posts